Monday, August 19, 2013

Catatan SESTER:Hari Kedua

Sambungan kisah...

19 Ogos 2013,Isnin

Di ambang hari kedua.Malam yang sangat letih,namun mata enggan lelap.Jarum jam semakin menunjuk ke waktu pagi,masuk hari lain sudah.Esok kena bangun awal,mata pulak tak mengantuk,bimbang terlajak,tak kelakar esok jadinya,itulah monolog dalaman berbisik.Penggera pagi disetkan di Galaxy Tab,dengan nada dering yang lebih buruk,dengan harapan memberi kekuatan dan sebab kuat untuk bangun dari tidur.Bilik sudah gelap,mata masih cerah,malam makin larut.Terdetik untuk mencari aplikasi di Google yang membantu untuk tidur.Jumpa,muat turun,guna dan hasilnya mengejutkan.

Tersentak,terjaga.Meraup muka,sudah azan,rasa mengantuk merasuk hebat.Meraup muka,bingkas bangun ke bilik air untuk bersiap.Pagi ini lebih awal daripada semalam.Harapan berbunga untuk jadikan hari ini lebih baik daripada semalam.Sempat sarapan ringkas,biskut kacang hazel dengan kopi susu suam.Sesudahnya,mohon restu Ummi Abah dulu,kemudian mula berangkat.

Hening pagi memang ajaib.Sungguh indah,nyaman dan terasa hebat ditambah takjub melihat bagaimana Allah melukis langit dengan keindahan warna-warna alam,Maha Suci Allah,petanda-petanda hebat agung Yang Pencipta.Trafik tidak sesibuk semalam,lebih santai pagi ini.

Tiba di sekolah awal memang seronok.Pelajar-pelajar sedang menunggu perhimpunan pagi,rutin harian yang perlu.Itu disiplin yang menarik untuk diperhati dan direfleks pada diri.Pintu bilik dokumentasi sudah terkuak sedikit,bagai sudah setia menanti kehadiran diri.

Pagi ini seperti semalam,bersiar-siar dan pusing-pusing kawasan sekolah.Beberapa keping gambar diambil,praktikal sekali rekaan Samsung.Fokus hari ini adalah pada infrastruktur sekolah dan kemudahan-kemudahan.Menjengah perpustakaan,bilik media,surau dan beberapa sudut menarik di sekitar kawasan sekolah.Insha Allah pasti dimuatkan cerita tentang tempat-tempat dalam laporan nanti.

Tengahari,kelas pertama bersama Mentor bersama Tingkatan 4,dibuat di sebuah bilik kuliah,bersama kelas-kelas lain.Aktiviti yang sangat biasa,pasti terkenang di zaman bilik darjah di sekolah.Topik diberi,dibincang,kemudian di tulis di kertas mahjong untuk dibentang di hadapan kelas.Topik yang ringkas,namun mencabar.Diri memain peranan,sekadar membantu kumpulan-kumpulan pelajar berbincang,menyumbang dan menyaran isi dan idea serta memberi penjelasan dan jawapan ringkas untuk soalan-soalan spontan pelajar.

Perbentangan berjalan dengan sangat baik.Ringkas,namun dibincangkan secara bijak,sinis,komikal namun padat ditekan juga pada kosa kata.Sepanjang sesi perbentangan,gelak ketawa tidak lekang,tidak pasti samada rindu menjadi seorang pelajar mula bertaut ataupun mula suka berada dalam posisi ini.

Usai kelas,sedikit dialog dengan Mentor,sebelum berkemas dan singgah di SMKA Sheikh Abdul Malek,bertemu Mohamad Kamal Ismail dan turut hadir Abdul Wafi,Fahmi dan Naqiuddin Al Azhari untuk mesyuarat program akan datang,namun ditunda.Sempat menyantuni dan berbual mesra dengan guru Bahasa Melayu semasa menelaah di Tingkatan 5 2010 Cikgu Maizatul di Perpustakaan Harun Ar Rashid,dan berbincang dengan Ketua Pengawas Pusat Sumber berkenaan fikrah kepimpinan selain berkongsi pengalaman yang sedikit.

Solat Zohor,lewat di Surau Al Mumtazin,sempat bersama Syaqiq Bilkhi,minum air pelik,dibelanja makan snek seterusnya bergerak pulang ke rumah.Apapun,hujan memaksaku berhenti rehat sementara reda di sebuah warung,berdekatan dengan Markaz Pilihanraya PAS Bukit Tunggal.hujan tidak mengenal parti.menikmati secangkir teh panas berasap berharga RM1.20,dibayar dengan kepingan-kepingan syiling.minuman panas tatkala sejuk hujan,ahh ini terbaik.

sampai di rumah,sedikit basah namun tidak kuyup,begitu juga dengan jiwa ini.pengalaman hari kedua di SESTER membuatku tidak sabar meniti hari ketiga,semoga lebih baik daripada hari ini,amin~ kepilan doa semoga segala urusan,khasnya sepanjang menjalani tugasan ini,dipermudah,diberkati dan dirahmati Allah,insha Allah.

insha Allah,coretan ini akan disambung,bawa kisah seterusnya yang masih di alam esok.

Penulis ialah Biskut Alyahya,SU MMP




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...