Wednesday, August 28, 2013

Catatan SESTER:Hari Kesembilan

seterusnya...

27 Ogos 2013,Selasa

malam ini terasa benar letihnya.padah tidur selepas Asar,meski Ummi selalu menegur dan perkara yang sama masih berulang.pagi ini bangun lewat,bersiap pun lewat,namun masih sempat bersarapan dengan bijirin penuh dan susu lemak.Terima kasih Abah yang beli.usai mohon restu dengan Ummi,barulah melangkah keluar.

pagi yang sejuk,redup dan mendung.khuatir hujan turun tanpa dipinta.spedometer menongkah dari nombor ke nombor,sedikit laju pagi ini.namun masih sempat menikmati pemandangan sungai Terengganu dari atas Jambatan Sultan Mahmud.nun jauh kelihatan lampu di Wisma Darul Iman di tengah Pusat Bandar masih belum dipadam.rintik langit mula terasa satu,satu.

Alhamdulillah,selama berada di SESTER,hujan belum menggugat lagi perjalanan pergi atau balik,setakat ini.sempat sampai,hampir-hampir seperti biasa.Hari ini hari Selasa,para pelajar memakai uniform hijau,pakaian rasmi untuk hari Kokurikulum setiap minggu.diselaraskan semua pelajar dan guru untuk satu unit beruniform sahaja,iaitu Kadet Remaja Sekolah.

antara perkara pertama yang harus difikir di awal pagi ini adalah peperiksaan tingkatan 4.Jadual yang diberi oleh guru semalam harus diteliti.tugasan mengawasi peperiksaan.nampak mudah,memang mudah,namun tidak mudah seperti yang kita biasa lihat.subjek pagi ini adalah Bahasa Melayu.berada di sesi kedua bermakna akan bertanggungjawab untuk memungut semua kertas soalan dan jawapan di akhir masa nanti.sekadar duduk di meja guru,sesekali mundar-mandir di lorong-lorong antara barisan meja pelajar,mana tahu ada yang ingin bertanyakan sesuatu.bosan.begitulah,sekejap sekejap duduk kembali di kerusi guru,menyambung sedikit kerja di borang pemerhatian,kemudian bangun kembali,mundar-mandir sehingga tamat waktu.sesekali mengantuk datang juga menjenguk di mata,terlayan namun terlawan.tamat waktu,pungut kertas dan selesai.

di waktu petang,tatkala menjengah sekejap ke bilik Cikgu Fauzi,PK HEM,ada tugasan lain.beliau meminta untuk ke bandar,tolong beli tiket bas untuk seorang pelajar.tugasan itu segera diselesaikan tamat saja waktu persekolahan,kemudian barulah menyusur haluan untuk pulang ke rumah di Batu Enam.

tugasan dalam tanggungjawab,sebagai satu bukti kita menjalankan tanggungjawab samada dengan baik atau sebaliknya.harus diingat,setiap melaksanakan tanggungjawab,mestilah berpaksi kerja kerja itu untuk Allah.tidaklah dilaksanakan melainkan atas dasar melaksanakan tanggungjawab itu amanah daripada Allah.pokoknya,pendidikan itu berlaku juga dalam tanggungjawab.secara sedar mahupun tidak sedar kita menerima pendidikan,dan haruslah muhasabah diri itu berlaku secara reflektif dengan harapan hari esok lebih baik daripada hari ini,insha Allah.

Nota:Tarikh sebenar untuk artikel ini adalah pada 27 Ogos namun siap ditulis pada 28 Ogos 2013.

#IV

Penulis ialah Biskut Alyahya,SU MMP

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...